Makam Mat Kilau
Telah lama laman ini ditinggalkan sepi. Baru kini rasa ingin menulis itu sampai setelah banyak perjalanan dibuat dibiarkan sepi tanpa berita. Tanggal 12 April 2013 setelah sebuah rancangan untuk ke Kedah dibatalkan saya menukar rancangan untuk ke Pahang pula, niat utamanya untuk melawat anak buah yang baru lahir (MUHAMMAD). Perjalanan dimulakan selepas asar menaiki motorsikal melalui Lebuh Raya Pantai Timur, saya rehat sebentar di Hutan Lipur Lentang sambil-sambil mengutip hasil hutan (kemyian) . Saya meneruskan perjalanan sehingga ke Maran , saya sampai sejurus selepas magrib. Keesokan pagi 13 April 2013 setelah seketika bermain dengan Muhammad saya memulakan perjalanan ke Jerantut, Pahang niat utamanya untuk ke Kota Gelanggi dan Makam Mat Kilau. Bagi saya sebuah perjalanan juga adalah sebuah Zikrullah. Mengamati perjalanan seperti mengamati kehidupan. Walau kemana pun kita, tujuan atas perjalanan itu adalah amat penting. Dan untuk meneruskan perjalanan kita seharus tahu asa jalannya, ke mana jalan yang kita lalui akan membawa kita. Jauh atau dekat perjalanan yang kita tempuh bergantung pada jalan yang kita pilih. Jika tersalah simpang yang kita masuk, tanyakan pada yang arif jalan yang harus kita lalui. Dan sepanjang perjalanan banyak keindahan yang melekakan sekiranya kita leka dipersinggahan maka lambatlah kita sampai ke tujuan.
Sekitar tengah tahun lalu saya pernah berjalan kaki berpuluh kilometer dari Bandar Jerantut ke Pulau Tawar untuk menziarahi Makam Mat Kilau yang rupanya terletak di Kampung Kedondong, Mukim pulau Tawar Daerah Jerantut Pahang. Perjalanan itu gagal kerana kekangan waktu dan saya berpatah balik dan berniat akan tetap pergi di waktu yang lain. Akhirnya pada 13 April saya sampai juga kesini. Alhamdulillah.